U Mobile terus mencipta nama sebagai peneraju industri telekomunikasi tempatan apabila dianugerahkan Syarikat Terbaik Malaysia 2024 oleh Frost & Sullivan. Anugerah ini mengiktiraf usaha inovatif syarikat tersebut dalam memperluaskan penggunaan teknologi 5G dan komitmen terhadap digitalisasi negara.
Kejayaan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh inisiatif U Borneo yang menawarkan sehingga 2,000 GB data 5G pada harga serendah RM15 sebulan, bertujuan memperkasa pengguna di Malaysia Timur dengan sambungan pantas serta mengurangkan jurang digital.
“Inovasi pintar U Mobile dalam teknologi 5G mencerminkan komitmen mereka terhadap masa depan digital yang inklusif,” puji Ketua Penyelidikan ICT Frost & Sullivan, Mei Lee Quah.
U Mobile tidak hanya popular dalam kalangan pengguna individu melalui pelan-pelan prabayar mesra pengguna, malah turut menyerlah dalam sektor korporat dengan pelancaran U Biz Fibre 10Gbps iaitu pelan fiber perniagaan terpantas di Malaysia, dilengkapi sambungan stabil dan keselamatan percuma.
Strategi kolaborasi U Mobile dengan rakan teknologi global mempercepatkan adaptasi teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin untuk meningkatkan kecekapan operasi rangkaian mudah alih.
Frost & Sullivan menyatakan bahawa inovasi U Mobile bukan sahaja membawa impak besar kepada pengguna, malah membantu Malaysia bergerak ke arah era digital yang lebih maju. Anugerah tahunan ini mengiktiraf organisasi yang unggul dalam inovasi teknologi dan strategi pertumbuhan.
Dengan pelbagai usaha progresif, U Mobile dilihat terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju transformasi digital, membawa Malaysia ke tahap teknologi yang lebih tinggi. – JURNAL
Sumber: Berita Harian