Kerajaan akan menggubal akta gaji khusus untuk lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan sasaran penggajian lebih tinggi daripada kadar gaji minimum iaitu RM4,000 ke atas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia sedang diusahakan kerajaan seiring pengenalan Dasar TVET Negara yang akan dilancarkan pada 2 Jun depan.
Beliau berkata, di bawah dasar itu nanti, hanya sebuah saja pusat pengiktirafan TVET akan diwujudkan berbanding pelbagai kementerian dan agensi yang menyelia bidang TVET ketika ini.
“Memang inilah (penggubalan akta gaji khusus TVET) yang sedang ada dalam kerangka Majlis TVET Negara dan kita akan melancarkan dasar TVET pada 2 Jun depan. Disamping itu, kita juga mewujudkan sebuah saja pusat pengiktirafan kepada TVET supaya tidak timbul kekeliruan dan cacamerba dari segi pengiktirafan.
“Kita juga lihat dari segi gaji. Terdapat saranan agar gaji premium itu bukan berdasarkan kepada gaji minimum, tetapi satu tahap lebih tinggi yang dicadangkan adalah MR4,000 ke atas.
“Secara tidak langsung ini akan menggalakkan pelajar masuk ke institusi TVET,” katanya menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Papar) pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, program TVET tidak hanya akan dimulakan selepas Tingkatan Lima, tetapi lebih awal lagi iaitu selepas Tingkatan Tiga di mana kolej vokasional, teknikal dan sebagainya akan menjadi ‘feeder’ kepada institusi TVET.
“Langkah ini agar mereka dapat ambil diploma dan ijazah dua tahun lebih awal daripada rakan-rakannya yang lain. Ini satu galakan yang sedang dilakukan kerajaan,” katanya.
Gesaan mengenai penggubalan sebuah akta gaji yang khusus untuk TVET ini juga dibangkitkan dan menjadi antara resolusi dalam Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang berakhir Sabtu lalu.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan), beliau mengakui program TVET ini masih berada dalam pilihan kedua dan ketiga, sekali gus memerlukan usaha promosi lebih tegas.
“Majlis TVET Negara dan sekretariat TVET yang diletakkan di bawah Timbalan Perdana Menteri, sudah berusaha dengan keras untuk menyelaraskan 1,345 program TVET yang berada di bawah 12 kementerian, di mana 50 peratus daripadanya dilaksana oleh TVET di bawah kementerian, jabatan dan agensi dan 50 peratus lagi di bawah pihak swasta dan 24 di bawah kerajaan negeri.
“Untuk promosi TVET sebagai pilihan pertama, sudah dilakukan dengan beberapa pendekatan. Pertamanya kita menyoroti dengan kisah-kisah kejayaan beberapa individu dan tokoh dalam bidang TVET.
“Ini sedang berjalan di mana kita mendapati gaji premium sudah disarankan dan empat rangkaian universiti teknikal Malaysia dapat mempromosikan di mana pelajar ini tidak perlu mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebaliknya boleh mengambil diploma dan kini ada usaha untuk dilanjutkan ke peringkat ijazah,” katanya.
Seterusnya, beliau berkata kerjasama dengan syarikat besar, di mana 60 peratus program latihan dijalankan dalam industri dan hanya 40 peratus saja di dewan-dewan kuliah.
“Ketiganya, kita laksana strategi pengintegrasian terutama program berkaitan IR4.0 dan kita lakukan ini kerana itu kehendak pasaran dan kita juga akan teruskan kerjasama dengan syarikat luar negara,” katanya. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN