Turkiye telah menyekat akses kepada permainan dalam talian Roblox, yang popular dalam kalangan remaja, hanya seminggu selepas memutuskan akses kepada Instagram.
Langkah ini diambil di tengah-tengah kritikan media sosial yang semakin memuncak daripada Presiden Recep Tayyip Erdogan, yang menuduh platform dalam talian mengamalkan ‘fasisme’ dan gagal mengalih keluar kandungan yang dianggap menyinggung pihak berkuasa.
Roblox, yang telah dimuat turun lebih daripada 41 juta kali di Turkiye sejak dilancarkan pada 2015, disekat pada Rabu atas dakwaan mengandungi kandungan yang boleh menyebabkan penderaan kanak-kanak.
Menteri Kehakiman Yilmaz Tunc mengesahkan penggantungan platform tersebut, dan pendakwa raya di Adana kini sedang menyiasat kes ini.
Roblox, yang dimiliki oleh Amerika Syarikat (AS), menyatakan bahawa mereka telah menurunkan lebih daripada 2,500 hantaran dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini atas permintaan pihak berkuasa Turkiye.
Pada masa yang sama, Erdogan mengecam platform media sosial kerana tidak memadam gambar syuhada Palestin dan mengancam untuk mengambil tindakan lebih lanjut.
Ketua komunikasinya turut menuduh Instagram menghalang mesej takziah atas pembunuhan pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh.
Turkiye mungkin meneruskan tindakan keras terhadap media sosial, dengan gesaan terkini untuk menyekat Tiktok, menurut Ketua Suruhanjaya Platform Digital Parlimen, Huseyin Yayman. – JURNAL
Sumber: Harian Metro