Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyeru anggota masyarakat khususnya penduduk negeri Johor, agar mengubah cara pemikiran berkaitan isu kebersihan.
Dalam respons terhadap satu ciapan di Twitter, Tunku Ismail nyata kesal apabila masih ramai yang tidak prihatin terhadap aspek kebersihan.
Kata Tunku Ismail, biarpun pasukan petugas sudah melaksanakan kerja-kerja pembersihan, ia tidak akan memberi impak besar jika orang ramai tidak memainkan peranan.
“Saya berharap masyarakat menghormati negeri dan alam sekitar kita dan ubahlah mindset dari membuang sampah merata-rata.
“Apabila saya pantau, selepas kerja pembersihan dibuat, pembuangan sampah terus berlaku di setiap tempat. Tolonglah ubah sikap,” tulisnya.
Terdahulu, seorang pengguna Twitter meluahkan rasa kecewa apabila percutiannya ke Tanjung Balau dicemari pemandangan tidak enak, dengan sampah sarap dilihat di segenap sudut kawasan pantai itu.
“Pengalaman Cuti-Cuti Malaysia saya menjadi buruk kerana sampah sarap yang dibuang merata tempat di Tanjung Balau.
“Kita kena lakukan sesuatu tentang perkara ini. Ia melampau dan sangat menyakitkan untuk dilihat,” tulisnya sambil meletakkan tag akaun Tunku Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said. – JURNAL