Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta mana-mana pihak tampil memberikan bukti berhubung dakwaan beliau campur tangan dalam kes Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Perdana Menteri menegaskan, pihak terbabit juga perlu membuktikan beliau mengarahkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk memerintahkan supaya Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).
“Muar (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) ini tak dengar penjelasan kita. Saya sebut dalam beberapa kes, termasuk ahli Yang Berhormat di sebelah sana yang kawan Yang Berhormat (Syed Saddiq) sekarang pun ada kes prima facie tetapi dibuang.
“Ada kes seperti Siti Aisyah… ada kes tertuduh sakit. Keputusan Peguam Negara, ‘discretion’ (budi bicara) dia, tetapi kenapa buat tuduhan melulu dan kurang sopan, menyerang Perdana Menteri dan menganggap saya campur tangan.
“Apa bukti saya campur tangan? Peguam Negara itu (Idrus) adalah Peguam Negara yang dipilih ketua Yang Berhormat (Syed Saddiq) dan saya tak tukar Peguam Negara itu.
“Selepas itu saya dituduh bincang (untuk menggugurkan kes Ahmad Zahid). Saya tanya apakah alasan kuat untuk berikan DNAA (terhadap Ahmad Zahid).
“Kemudian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan siasatan diteruskan dan kalau ada bukti tambahan, akan teruskan pendakwaan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Anwar mengakui kecewa dengan sikap Ahli Parlimen pembangkang yang berterusan menyerang beliau berhubung perintah DNAA ke atas Ahmad Zahid.
Tanpa mengetepikan pertikaian berhubung kes itu, Perdana Menteri berkata, tidak wajar beliau dihukum dan dilabel sebagai munafik, seolah-olah mencampuri urusan legislatif.
“Saya tahu ramai tak berpuas hati dan beri pandangan seolah-olah inilah satu-satunya kes prima facie (yang diperintahkan DNAA). Banyak kes prima facie yang saya berikan contoh, termasuk Ahli Parlimen di sebelah sana.
“Banyak kes besar lain yang Yang Berhormat tak bangkitkan dan mahu sebutkan mengenai rasuah. Mengapa pembesar yang hartawan tak dengar (didakwa) pun? Adakah kerana dia bantu kita, maka kita diam?
“Banyak kes (membabitkan) puluhan bilion di negara ini, tetapi TPM I (Ahmad Zahid) menjadi sasaran. Dalam kes ini, Peguam Negara ketika itu (Idrus) memaklumkan terpaksa tarik berdasarkan beberapa alasan,” katanya.
Sementara itu, Anwar menafikan dakwaan beliau menggadaikan perjuangan membanteras rasuah, semata-mata demi mengekalkan kuasa dan pengaruh.
“Fahamkah apa makna munafik ini? Kecam orang, ‘Perdana Menteri yang sudah meninggalkan prinsip, menggadaikan kerana mahu menjaga kekuatan’.
“Tak ada syarat, tanyalah kepimpinan di sini. Saya terima tanpa bersyarat. Pimpinan UMNO pun ada di sini. Jangan ingat saya susah, saya sudah lama jadi pembangkang dan di dalam penjara.
“Anda ingat saya takut dengan kedudukan ini? I stay, i stay… I go, I go,” kata Ahli Parlimen Tambun itu. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN