Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat bagi membuktikan tanggapan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.
Dr Mahathir berkata, beliau turut menafikan terbabit dalam mencipta ketidakstabilan politik seperti yang berlaku dalam negara selama ini seperti yang kerap dicanang oleh Anwar.
“Ia terpulang kepada anda (wartawan) untuk memberi tanggapan sebegitu. Tetapi ketika saya menjadi Perdana Menteri, saya menang pilihan raya selama lima penggal dengan majoriti dua pertiga.
“Rakyat boleh menyingkirkan saya ketika itu (jika saya ada melakukan kesalahan), tetapi ia tidak berlaku,” katanya pada sidang akhbar khas di sini hari ini.
Menurut beliau, Anwar selama ini menyalahkannya di atas apa yang berlaku terutama selepas disingkirkan daripada UMNO.
Dr Mahathir berkata, Anwar menjadi Perdana Menteri bukannya dipilih dalam pilihan raya sebaliknya secara kebetulan.
Apabila beliau (Anwar) jadi Perdana Menteri, dia menggunakan kuasa untuk mengugut orang malah, dalam soal mentadbir negara dia langsung tiada idea untuk menangani isu ekonomi dan sosial.
“Dia kata nak lawan rasuah. Lawan rasuah apa, tetapi Zahid (kes rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dilepaskan,” katanya
Ditanya sama ada tindakan terhadap dirinya dan anaknya Mirzan adalah suatu tindakan balas dendam, Dr Mahathir berkata, beliau tidak pasti ia satu tindakan balas dendam atau tidak tetapi hairan kenapa dia anaknya disiasat.
“Saya tak pasti ini satu tindakan balas dendam atau tidak. Lelaki (Anwar) ini pernah dipenjara dan bila i (saya) jadi Perdana Menteri kali kedua, dia dibebaskan.
“Malah masa dia mahu bertanding pilihan raya, saya sebenarnya berkempen untuknya. Malah saya dan Tun Daim Zainuddin berkempen untuknya.
“Tetapi bila saya sudah berkempen untuknya sekarang dia nak siasat saya atas pelbagai kesalahan pula,” katanya. – JURNAL
Sumber: UTUSAN