Tukang urut lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki yang hilang di Hulu Bernam, Selangor, awal bulan lalu.
Tertuduh, Hamid Khan Samoon, 43, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap lelaki berusia 16 tahun di bilik hotel di Jala Sultan, di sini, pada 8 malam, 1 Januari hingga 10 Januari lalu.
Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan kerana perlu menanggung kakak yang sudah tiada suami.
“Saya menanggung kakak saya, anak dia (kakak) sudah meninggal dunia, kakak saya mengharapkan saya sangat-sangat,” katanya.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Mohd Kafli membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang lelaki direman selama tujuh hari selepas dipercayai terbabit dalam kes dua beradik yang dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman mereka di Hulu Selangor, sejak 1 Januari lalu. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO