Tujuh pengganas warga Filipina kekal dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan hari ini, selepas didapati bersalah melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam serangan bersenjata di Lahad Datu, Sabah, 11 tahun lalu.
Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara memutuskan untuk mengekalkan hukuman mati terhadap semua pemohon.
“Permohonan semua pemohon ditolak dan hukuman mati dikekalkan,” kata Tun Tengku Maimun dalam penghakiman hari ini.
Antara yang terlibat ialah Panglima Tentera Sulu, Datu Amirbahar Hushin Kiram, 60, yang juga anak saudara kepada Jamalul Kiram III, individu yang mengaku dirinya sebagai Sultan Sulu.
Bersama Amirbahar, enam lagi pengganas turut menerima hukuman yang sama iaitu Atik Hussin Abu Bakar, 52; Basad H Manuel, 49; Virgilio Nemar Patulada, 59; Al Wazir Osman, 68; Tani Lahad Dahi, 70; dan Julham Rashid, 75.
Kesemua mereka sebelum ini memohon agar hukuman mati tersebut digantikan dengan hukuman penjara berdasarkan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang memberi budi bicara kepada hakim untuk mengenakan hukuman penjara selama tempoh antara 30 hingga 40 tahun.
Namun, mahkamah mengekalkan keputusan hukuman mati berdasarkan rayuan pendakwa raya pada 8 Jun 2017.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 2016 telah menjatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat terhadap mereka, namun rayuan pendakwa raya membawa kepada hukuman gantung.
Insiden pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu yang berlaku dari 12 Februari hingga 10 April 2013 itu menyaksikan sembilan anggota pasukan keselamatan Malaysia terkorban. – JURNAL
Sumber: Harian Metro