Pas menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap seorang ahli Parlimen PKR yang didakwa sering campur tangan mengenai hal ehwal Islam termasuk berkaitan poligami, dengan apa yang dianggapnya sebagai ‘ajaran’ parti itu.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, poligami yang dibangkitkan dalam perbahasan di Dewan Rakyat semalam hakikatnya dibenarkan oleh syarak dan undang-undang Islam.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, Sim Tze Tzin juga Ahli Parlimen Bayan Baru bersikap biadab kerana mendakwa poligami adalah ajaran Pas.
“Saya sebut poligami dan ini tidak ada kena mengena dengan isu jumlah yang tak kahwin. Isu poligami seolah-olah ia satu jenayah. Padahal poligami ini dibenarkan oleh syarak dan dalam Islam, ini bukan isu ajaran Pas.
“Beliau (Tze Tzin) ini banyak kali campur tangan dalam urusan melibatkan agama. Saya harap pihak keselamatan kena ambil tindakan. Jangan biarkan orang macam ini membuat kenyataan-kenyataan yang menyinggung perasaan orang Islam. Ini bukan soal Pas… ini peraturan agama.
“Tulisan beliau semalam telah menimbulkan suasana yang sangat tidak selesai dalam kalangan orang Islam, sebab yang dikomen itu bukan soal Pas, tetapi melibatkan agama. Siapa nak buat atau tidak buat (poligami) itu soal kedua, tetapi ini melibatkan ajaran agama. Jadi, polis perlu ambil tindakan,” katanya.
Ditanya ciapan Tze Tzin di aplikasi X semalam yang mendakwa ajaran Pas tidak membenarkan penganjuran konsert seperti Coldpay, Billie Eilish, Blackpink dan Bollywood, sebaliknya ‘mengizinkan’ hal berkaitan poligami.
Beliau memuat naik ciapan itu beserta dua keratan laporan berita berhubung gesaan pembatalan konsert Coldplay yang telah berlangsung semalam dan satu cetakan skrin memetik beberapa ayat Tuan Ibrahim mengenai poligami.
Bagaimanapun, Tze Tzin telah memadamkan hantaran itu. – BOOM!