Menjelang pelantikannya semula, presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berjanji untuk menandatangani sejumlah besar perintah eksekutif yang dianggap bakal membawa perubahan besar kepada AS.
Dalam “Victory Rally” di Capital One Arena, Washington DC, Trump berkata beliau akan bergerak dengan “kepantasan dan kekuatan bersejarah” sejurus mengangkat sumpah jawatan.
“Kita utamakan Amerika dan semuanya bermula esok,” kata Trump kepada ribuan penyokongnya.
Trump dilaporkan akan menandatangani lebih 200 tindakan eksekutif, termasuk perintah eksekutif yang sah dari segi undang-undang dan arahan presiden lain seperti proklamasi. Beliau bertekad untuk membatalkan setiap “perintah radikal dan bodoh” pentadbiran Biden dalam beberapa jam selepas mengambil alih kuasa.
Antara langkah yang dirancang termasuk memperkenalkan program kecerdasan buatan, membentuk Jabatan Kecekapan Kerajaan (Doge) yang diketuai Elon Musk dan Vivek Ramaswamy, menghapuskan dasar kepelbagaian dalam tentera, serta menghentikan penyertaan wanita transgender dalam sukan wanita. Trump juga bercadang menyerahkan kawalan pendidikan kembali kepada negeri dan mengarahkan tentera untuk membina sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome.
“Kamu akan melihat perintah eksekutif yang akan membuatkan kamu sangat gembira,” katanya penuh keyakinan.
Trump turut memberi perhatian kepada isu imigresen haram yang menjadi teras kempen presidennya, meskipun pakar menyatakan janji untuk mengusir berjuta-juta pendatang tanpa izin akan menghadapi cabaran logistik besar dan menelan belanja yang sangat tinggi.
Selain itu, beliau merancang untuk memberikan pengampunan kepada individu yang terlibat dalam rusuhan di Capitol Hill pada 6 Januari 2021, yang disifatkan Trump sebagai “tebusan”.
“Semua orang akan sangat gembira dengan keputusan saya pada Isnin,” katanya.
Acara malam itu turut dimeriahkan oleh persembahan Kid Rock, ucapan daripada selebriti seperti Megyn Kelly dan Jon Voight, serta kehadiran ahli keluarganya. Namun, acara tersebut terpaksa dipindahkan ke dalam Rotunda Capitol berikutan cuaca buruk dengan suhu serendah -6°C. – JURNAL
Sumber: BBC