Hello Kitty, ikon terkenal dari Jepun yang mula diperkenalkan pada 1 November 1974, kini meraikan ulang tahun ke-50. Namun, di sebalik kejayaan globalnya, syarikat di sebalik karakter ini, Sanrio, telah melalui perjalanan yang penuh dengan naik turun kewangan.
Hello Kitty diiktiraf sebagai francais media kedua tertinggi hasilnya di dunia, di belakang Pokémon dan mengatasi karakter seperti Mickey Mouse dan Star Wars. Namun, Sanrio pernah berdepan cabaran apabila populariti Hello Kitty mula merosot dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada tahun 2020, Tomokuni Tsuji, cucu kepada pengasas Sanrio, Shintaro Tsuji, mengambil alih syarikat ini pada usia 31 tahun, menjadikannya CEO termuda di Jepun. Di bawah kepimpinannya, Sanrio memperkenalkan strategi baru yang bukan hanya mengekalkan populariti Hello Kitty tetapi juga meningkatkan pengenalan karakter-karakter lain.
“Ia bukan tentang menurunkan populariti Hello Kitty, tetapi untuk memperkuatkan watak lain,” jelas Tsuji.
Kini, Cinnamoroll, seekor anak anjing bermata biru dan bertelinga panjang, telah mengatasi Hello Kitty sebagai karakter paling popular Sanrio. Watak lain seperti Aggretsuko, seekor panda merah yang agresif, turut berjaya menarik perhatian generasi muda dengan gaya hidupnya yang lebih dekat dengan realiti pekerja biasa.
Selain memperkenalkan lebih banyak karakter, Sanrio turut meningkatkan usaha pemasaran di luar negara serta memerangi produk tiruan menggunakan kecerdasan buatan.
“Kami bekerjasama dengan jenama terkenal seperti Starbucks dan Crocs untuk memastikan karakter kami sentiasa relevan di pasaran global,” kata Tsuji.
Dalam masyarakat Jepun yang sangat menghormati senioriti, kedudukan Tsuji sebagai ahli keluarga pengasas memudahkan usahanya membuat perubahan besar di Sanrio.
“Tentu sekali ada tentangan dari pengurus lain dan pekerja,” katanya, namun Tsuji akhirnya diberi kebebasan oleh datuknya untuk mengemudi syarikat ini mengikut caranya.
Hasil daripada kepimpinannya, Sanrio berjaya mencapai keuntungan dalam masa dua tahun dengan peningkatan saham yang signifikan. Perubahan drastik ini dianggap sebagai “pemulihan berbentuk V yang indah,” menurut pakar pelaburan, Yasuki Yoshioka.
Walaupun Hello Kitty dikenali sebagai ‘gadis sekolah British’ dan bukannya kucing, Tsuji berpendapat, Hello Kitty boleh menjadi sesiapa sahaja iaitu kakak, ibu atau bahkan diri anda yang lain. Rahsia identitinya yang berterusan ini mungkin akan terus menghidupkan aura misteri karakter tercinta ini untuk bertahun-tahun lagi. – JURNAL
Sumber: BBC