Anak kepada pemandu e-hailing Sharipuddin Shaari, 53, yang maut dalam tragedi pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, semalam, menceritakan detik terakhir bersama Allahyarham pada malam sebelum kejadian.
Muhammad Sharul Izuan, 16, berkata, ayahnya mengajak dia bersembang panjang dan bersungguh-sungguh memintanya untuk makan.
Namun disebelah pagi, pada hari kejadian Allahyarham tidak bercakap semasa menghantarnya ke sekolah.
Katanya, pagi semalam dia bertemu bapanya di luar rumah ketika arwah sedang memeriksa enjin kereta.
“Ayah tidak bercakap sepatah pun sebelum saya pergi ke sekolah menunggang motosikal bersendirian.
“Malam sebelumnya ayah beriya-iya menyuruh saya makan dan bersembang panjang kerana kami jarang bercakap kecuali ada perkara penting yang perlu dibincangkan.
“Petang semalam kira-kira jam 6 petang, anggota peronda polis datang ke rumah memaklumkan ayah terbabit kemalangan dan berita itu amat mengejutkan kami sekeluarga,” katanya.
Malah dua minggu sebelum kejadian, Allahyarham ketika dalam perjalanan ke sebuah pusat beli-belah di Kota Warisan, memberikan dua keping gambar kepada Sharul Izuan untuk disimpan.
“Ayah beri saya dua keping gambar yang sama dan menyuruh saya menyimpan sebagai kenangan,” katanya.
Tambah Sharul Izuan lagi, ketika bapanya memberikan gambar itu, mereka sekeluarga terdiri daripada ibu, Suriana Muda, 43, dan adik bongsu, Nur Izzara Arissya,9, ada bersama dalam kereta.
“Saya tidak menyangka permintaannya menyuruh menyimpan gambar itu menjadi petanda ayah akan pergi meninggalkan kami selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Taman Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, pada Jumaat.
Kata pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Salak Tinggi itu lagi, kali terakhir bapanya menghubungi ibu pada 2.15 petang semalam ketika sedang berehat di sebuah restoran dan memaklumkan berada di sekitar Elmina untuk mengambil pelanggan dan pulang awal selepas selesai bekerja.
Pelajar Tingkatan Empat berkata, sebelum ini mereka sekeluarga tinggal di Arau, Perlis dan berpindah menyewa di taman itu sejak hujung tahun lalu.
“Pemergian ayah sangat mengejutkan kami sekeluarga kerana arwah seorang yang penyayang namun kami reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya. – JURNAL
Sumber: Harian Metro
Berita berkaitan:
- [V] Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Pesawat Ringan, Juruterbang Dan Penumpang Turut Maut
- Pesawat Terhempas Di Elmina, Polis Sahkan 10 Terkorban Termasuk Exco Pahang
- Pesawat Berkecai, Mangsa Korban Ditemukan Dalam Keadaan Tidak Sempurna
- “Arwah Merangkak, Menjerit Minta Tolong, Saya Minta Maaf Saya Dah Cuba…” – Pemandu Lori Cuba Selamatkan Rider
- Tragedi Elmina: Allahyarham Johari Prihatin Kebajikan Rakyat, Tegas, Komited