Pegawai Operasi, Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kang Wei Xian, berkongsi memori menyayat hati ketika tragedi pesawat terhempas di Elmina, lima hari lalu.
“Lima hari sudah berlalu, namun memori menyayat hati ketika mengutip satu persatu cebisan mayat mangsa di lokasi pesawat terhempas masih terus ‘melekat’ di fikiran,” katanya.
Menurutnya, dia antara individu yang terbabit dalam operasi khas bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Unit Polis Forensik dan Unit Forensik Kementerian Kesihatan sejak Khamis lalu.
“Seramai 10 anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam mula diaktifkan untuk melakukan kerja mencari dan menyelamat mangsa nahas pada jam 3.15 petang Khamis lalu iaitu sejurus pesawat Beechcraft Premier 1 itu terhempas dan meletup.
“Selain itu, APM Selangor juga menghantar 13 anggota dari Daerah Klang dan Petaling bagi membantu operasi berkenaan. Pos Kawalan Tempat Kejadian (APM) turut dibuka di tapak nahas,” katanya.
Tambah Wei Xian, tugasan utama APM membantu pihak polis Forensik dan pegawai Forensik Kementerian Kesihatan mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian.
“Sebagai pegawai operasi PASPA, tugasan utama saya adalah menyelaraskan kerja mencari dan menjejaki mengikut protokol DVI (pengecaman mangsa bencana) ditetapkan.
“Selain itu, saya juga adalah Liason Officer (pegawai perhubungan) antara Ground Zero dan juga Pusat Kawalan Operasi Pusat (PKOP). Malah pada hari kejadian, saya turut terbabit dalam tugasan mengumpul dan mengutip cebisan mayat mangsa.
“Perasaan sedih sukar digambarkan ketika melihat ada mayat mangsa yang terbakar teruk. Kebanyakan mayat mangsa berada dalam keadaan tidak sempurna,” katanya.
Menurutnya, mereka cuba sedaya upaya mencari semua cebisan mayat mangsa yang terdapat di Ground Zero sebelum menyerahkannya kepada Forensik KKM.
“Walaupun semua 10 mangsa sudah meninggal dunia, apa yang kami lakukan ini dianggap penghormatan terakhir kepada semua mereka.
“Sukar digambarkan detik-detik akhir mangsa sebelum pesawat itu menjunam dalam kelajuan tinggi dan terhempas ke bumi. Situasi di Ground Zero dipenuhi bangkai pesawat yang hancur sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, situasi menyayat hati di tapak nahas pesawat itu membuat dia dan anggota APM lain amat bersimpati kepada mangsa dan ahli keluarga mereka. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO