Sepanjang tahun 2024, Malaysia kehilangan ramai individu terkemuka yang pernah menyumbang kepada pembangunan negara dalam pelbagai bidang, sama ada politik, ekonomi, perundangan, pendidikan, mahupun seni dan budaya.
Mereka bukan sahaja dikenang atas pencapaian luar biasa, tetapi juga legasi yang meninggalkan kesan mendalam kepada generasi seterusnya. Berikut adalah imbasan ringkas perjalanan hidup serta pencapaian tokoh-tokoh yang meninggalkan kita tahun ini.
Abdul Taib Mahmud, 87 (21 Februari)
Abdul Taib Mahmud, bekas Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun dan Gabenor Sarawak sejak 2014, dikenang sebagai arkitek pembangunan negeri itu. Digelar “Bapa Sarawak Moden,” legasi beliau merangkumi pelbagai projek infrastruktur utama.
Annie Ooi, 78 (26 Mac)
Dikenali sebagai “Aunty Bersih,” Annie Ooi menjadi simbol perjuangan demokrasi Malaysia, terkenal kerana keberanian menghadapi gas pemedih mata semasa perhimpunan Bersih 2011.
Sister Enda Ryan, 95 (7 April)
Pengasas Sekolah Assunta yang menjadi warganegara Malaysia pada 1966 ini mendedikasikan hidupnya dalam bidang pendidikan. Beliau turut membantu menubuhkan Hospital Assunta.
Hanif Omar, 85 (20 April)
Bekas Ketua Polis Negara termuda, Hanif Omar memimpin pasukan polis Malaysia selama 20 tahun, membawa perubahan besar dalam institusi itu.
Joseph Kurup, 79 (17 April)
Pengasas PBRS, Joseph Kurup memainkan peranan penting dalam politik Sabah, termasuk sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Perpaduan Nasional.
Noor Farida Ariffin, 76 (27 Jun)
Pengasas bersama G25, Noor Farida dikenang sebagai diplomat dan pejuang hak wanita. Selepas bersara, beliau aktif menyumbang kepada NGO dan pembangunan sumber manusia.
Jay Jay, 67 (4 Ogos)
Jay Jay atau nama sebenarnya Fauzi Darus menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara pada 23 Mei lalu, selepas dimasukkan ke wad dua hari sebelumnya kerana serangan jantung.
Pelantun lagu “Rindu Bayangan” itu menjadi popular ketika menganggotai kumpulan Carefree pada 1979, sebelum bergerak solo pada 1984. Beliau pernah memenangi beberapa anugerah, termasuk Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1988.
Raja Petra Kamarudin, 74 (9 September)
Penulis blog kontroversi, RPK, adalah pengasas laman web Malaysia Today yang mencetuskan pelbagai perdebatan politik negara. Beliau pernah ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 2001 dan 2008.
Raja Petra yang tinggal di Manchester selama beberapa tahun, meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah yang merebak kepada paru-paru dan hatinya.
Manjeet Singh Dhillon, 82 (28 Oktober)
Bekas Presiden Badan Peguam Malaysia ini terkenal dalam kes-kes profil tinggi, termasuk membela tertuduh dalam kes bunuh Sosilawati Lawiya.
Daim Zainuddin, 86 (13 November)
Dua kali menjawat jawatan Menteri Kewangan, Daim dikenang atas peranan besarnya menstabilkan ekonomi Malaysia semasa krisis kewangan Asia.
T Ananda Krishnan, 86 (28 November)
Pengasas Maxis dan Astro ini merupakan alumni Harvard Business School yang turut membantu penubuhan Petronas, syarikat minyak negara.
Beliau menyokong pelbagai perjuangan, antaranya menjadi penganjur bersama Live Aid, konsert manfaat pelbagai lokasi bagi menghimpunkan dana untuk individu terkesan akibat kebuluran di Etiopia bersama Bob Geldof pada 1985.
Dalam setiap sudut kehidupan, mereka ini meninggalkan jejak mendalam yang akan terus dikenang oleh rakyat Malaysia. Semoga legasi mereka terus hidup dan dikenang generasi seterusnya. – JURNAL