Di sebalik kekalahan tipis 0-1 Johor Darul Ta’zim (JDT) kepada Kawasaki Frontale, pemilik JDT iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim melahirkan rasa kesalnya di atas mutu pengadilan yang tidak memanfaatkan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dengan sebaik-baiknya.
Luahan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) di laman sosial itu susulan beberapa insiden termasuk terjahan keras ke atas Arif Aiman Hanapi di dalam kotak penalti tidak diendahkan pengadil perlawanan dari Qatar, Abdulrahman Al-Jassim.
Meskipun terdapat permintaan daripada pemain JDT agar pengadil merujuk kepada VAR, namun ia tidak dilayan hingga mengakibatkan tuan rumah terlepas beberapa peluang untuk meraih gol.
“VAR hanya bagus untuk orang yang bijak menggunakan VAR, tak guna bagi VAR kepada orang tak tahu pakai VAR. Ibarat beri kereta kepada monyet,” tulis Tunku Ismail.
Kelab Jepun itu meraih gol tunggal perlawanan menerusi sepakan gunting Marcinho pada lewat separuh masa pertama, sekali gus meraih tiga mata pada perlawanan di Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Selasa lalu.
Perlawanan seterusnya akan menyaksikan JDT terbang ke Thailand untuk bertemu BG Pathum United pada 3 Oktober ini.
Sebelum itu, BG Pathum tewas 1-3 kepada Ulsan Hyundai yang berlangsung di Korea Selatan dengan penyerang import Ulsan, Martin Adam meledak hatrik manakala gol sagu hati BG Pathum oleh Ryhan Stewart.
Ulsan Hyundai kini mendahului Kumpulan I dengan kelebihan jaringan dan berkongsi tiga mata bersama Kawasaki Frontale, manakala JDT di tangga ketiga diikuti BG Pathum tercorot, selepas masing-masing mengharungi satu aksi. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO