Tindakan tegas pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka terhadap sebuah pasar mini yang diuruskan oleh warga asing mendapat pujian meluas warganet.
Rakaman video pemeriksaan itu yang dimuat naik di TikTok KPDN Melaka telah meraih lebih 1.4 juta tontonan. Video tersebut memaparkan penguat kuasa memeriksa premis yang didakwa menjual minyak masak paket pada harga RM3.50.
Ketika disoal mengenai sumber bekalan minyak masak paket tersebut, pekerja premis gagal memberikan jawapan memuaskan. Pemeriksaan turut menemui ayam yang disimpan di bahagian belakang premis, dipercayai untuk dijual kepada kedai lain, yang ditegur oleh pegawai penguat kuasa kerana ia melanggar peraturan.
Selain itu, pegawai penguat kuasa mendapati sayur-sayuran yang dijual tidak mempunyai tanda harga, manakala lesen perniagaan pasar mini tersebut telah tamat tempoh.
Hasil pemeriksaan menyeluruh, penguat kuasa KPDN Melaka merampas barangan yang tidak mematuhi peraturan.
Warganet memuji ketegasan pegawai KPDN Melaka dalam melaksanakan tugas.
“Tahniah KPDN Melaka! Harap semua negeri ikut tindakan tegas macam ini,” tulis seorang pengguna.
Ada juga yang menyuarakan harapan agar pemeriksaan serupa dilakukan di kawasan mereka untuk memastikan perniagaan mematuhi undang-undang. – JURNAL