Tiga suspek yang diburu selepas disyaki bersubahat menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di daerah ini pada 12 Disember lalu, ditahan semalam.
Semua suspek masing-masing remaja berusia antara 15 hingga 18 tahun dan bekerja di kedai makan itu ditahan di Pontian kira-kira jam 5.40 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, mengesahkan penahanan itu dengan semua tiga suspek terbabit kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman ke atas mereka dikeluarkan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Terdahulu, ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, dengan memakai baju lokap berwarna jingga dan digari bersama.
Semalam, media melaporkan, seorang lelaki warga China yang juga berstatus penduduk tetap Singapura parah ketika cuba menyelamatkan anak lelakinya daripada menjadi mangsa culik.
Dilaporkan, anak mangsa dibawa lari sekumpulan lelaki yang mana seorang daripadanya dipercayai rakan kongsi perniagaan bersama mangsa.
Raub turut dilapor berkata, suspek utama merancang bersama tiga lagi yang lain untuk menculik kanak-kanak terbabit kerana mahu melakukan pemerasan wang RM300,000 daripada mangsa.
Bagaimanapun, tiada wang tebusan diberikan kerana suspek utama ditahan polis pada hari sama dengan kejadian itu.
Suspek utama berusia 41 tahun dan bekerja sebagai mekanik kereta dituduh mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan di mahkamah, kelmarin. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN