Tiga anggota polis yang ditahan kerana terlibat dengan kes kecurian wang tunai berjumlah RM85,000 dalam operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) didakwa di Mahkamah Majistret, di sini sebentar tadi.
Lans Koperal Mohamad Adib Mohd Zafri, 35, Koperal Muhamad Hafiz Irsyad Mohd Nawi,30, dan Lans Koperal Mohamad Amirul Aiman Mamat, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama pada pukul 2.27 petang, 21 Disember lalu mencuri wang milik NGWE Gabar Sdn. Bhd., No 29,Tingkat 1, Jalan Lebuh Pudu, Off Jalan Silang, di sini.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Majistret Aina Azzahra Arifin menetapkan ikat jamin sebanyak RM17,000 setiap seorang dengan dua penjamin warga tempatan.
Kesemua anggota polis itu juga diperintahkan untuk menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis terdekat setiap awal bulan.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 6 Februari ini.
Jumaat lalu, tular laporan polis berkaitan kes kehilangan wang RM85,000 didakwa dicuri anggota polis yang terlibat dalam operasi tersebut daripada sebuah premis di Lebuh Pudu dekat sini.
Laporan itu menyatakan pemilik premis iaitu warga tempatan berusia 36 tahun mendakwa semasa berada di kedainya pada 21 Disember lalu mendapati wang tunai hasil jualan milik Syarikat berjumlah RM85,000.00 yang disimpan dalam almari telah hilang.
Laporan itu mendakwa pemilik premis kemudian telah membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis mendapati tiga lelaki berpakaian celoreng polis telah memasuki premisnya.
Laporan itu mendakwa, melalui penelitian CCTV turut memaparkan kelibat ketiga-tiga lelaki memasuki premis tersebut dan telah melakukan penggeledahan.
Soal siasat awal kepada ketiga-tiga mereka mengaku mengambil duit tersebut di dalam almari. – KOSMO!
Sumber: KOSMO!