Perbicaraan kes Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down Bella akan tetap diteruskan hari ini meskipun Pengasas Rumah Bonda itu tidak diwakili peguam.
Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi membuat penetapan itu selepas tidak mahu lagi bicara bela diri itu ditangguhkan.
Hakim Izralizam turut mengulangi prosiding itu perlu diteruskan seperti tarikh ditetapkan bagi memastikan Siti Bainun dapat menyelesaikan pembacaan pernyataan saksi hampir setebal 200 muka surat itu hari ini dan esok.
Semasa prosiding, Hakim Izralizam bertanya kepada Siti Bainun adakah sudah mempunyai peguam bela dan tertuduh menjawab sudah berjumpa dengan peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
“Saya dimaklumkan peguam YBGK yang akan mengendalikan kes ini (bicara bela diri) memerlukan masa sebulan untuk meneliti kes,” kata Siti Bainun.
Mendengar perkara itu, hakim tersebut bertanya lagi kepada tertuduh adakah dia mengetahui kepentingan kes ini Siti Bainun kemudian menjawab ‘tahu’ kes ini penting.
Hakim Izaralizam: Adakah kamu membuat aduan kepada Majlis Peguam (penarikan diri peguam)
Siti Bainun: Tidak.
Dalam pada itu, Siti Bainun turut memaklumkan tidak membawa sebarang pernyataan saksi pembelaannya di mahkamah hari ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas.
Perbicaraan ditangguhkan sebentar.
Sebelum ini media melaporkan Siti Bainun sebak selepas lima peguamnya menarik diri dari mewakili perbicaraan bela diri itu.
Mereka ialah Nur ‘Aminahtul Mardiah Md. Nor, Asiah Abd. Jalil, Nurul Hafidzah Hassan, Mohammad Farhan Maaruf dan Nur Ellena Mohamed Razif.
Pada masa sama, Hakim Izralizam turut menasihati Siti Bainun supaya melantik peguam yang lebih bertanggungjawab untuk mengendalikan kesnya. – JURNAL
Sumber: KOSMO! ONLINE