Umat Islam di seluruh Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Sabtu.
Pengumuman pengisytiharan itu dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh hari raya puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Sabtu, 22 April 2023,” katanya menerusi pengumuman rasmi yang disiarkan di saluran televisyen RTM.
Penetapan tarikh itu dibuat selepas cerapan anak bulan dilaksanakan di 29 lokasi di seluruh negara.
Sebelum ini, wujud persoalan sama ada 1 Syawal jatuh pada Jumaat atau Sabtu.
Bagaimanapun, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) memaklumkan, pengisytiharan tarikh 1 Syawal setiap tahun bagi Malaysia dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan di 29 lokasi cerapan rasmi. – JURNAL