Syarikat pembuat coklat Toblerone tidak akan menggunakan lagi imej puncak Banjaran Alps iaitu Gunung Matterhorn sebagai logo pada bungkusan produk itu.
Menurut syarikat yang dimiliki oleh Amerika Syarikat (AS) Mondelez itu, pembungkusan Toblerone akan dikemas kini selari dengan keputusan untuk memindahkan beberapa pengeluaran luar dari Switzerland yang mempunyai peraturan ketat mengenai penggunaan simbol negara.
“Reka bentuk baharu pembungkusan akan dimodenkan dan diperkemas sejajar dengan estetik geometri dan segi tiga,” menurut seorang jurucakap Mondelez.
Pembungkusan baharu akan menyertakan logo tersendiri yang diinspirasi daripada arkib Toblerone dan disertakan dengan tandatangan pengasas Toblerone.
Untuk rekod, imej puncak Gunung Matterhorn mula diperkenalkan sekitar tahun 1970.
Pada 2017, Switzerland meluluskan undang-undang yang menyekat penggunaan simbol nasional pada pembungkusan industri.
Sekurang-kurangnya 80 peratus daripada bahan mentah sesuatu produk mesti diperolehi dari negara tersebut agar produk itu boleh ditandakan sebagai barangan keluaran Switzerland. – JURNAL