Majlis Tertinggi Perikatan Nasional memutuskan untuk menolak permohonan Pejuang untuk menyertai gabungan itu.
Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat semasa mesyuarat semalam (Selasa).
“Majlis Tertinggi telah membuat keputusan menolak permohonan kemasukan parti Pejuang Tanahair ke Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun Hamzah tidak memberikan sebarang alasan mengapa gabungan berkenaan memutuskan untuk menolak Pejuang.
Kenyataan itu juga tidak menyebut tentang Gerakan Tanah Air (GTA) yang juga dilaporkan berhasrat untuk menyertai PN.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin selaku pengerusi PN dan dihadiri oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Dominic Lau.
Sementara itu, Hamzah dalam kenyataan sama berkata, PN memutuskan untuk kekal dengan taktik PRU15 menggunakan logo PAS di Kelantan dan Terengganu serta logo gabungan itu di negeri lain.
Dia juga mengumumkan bahawa Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor turut mengekalkan jawatannya sebagai pengarah pilihan raya gabungan itu. – JURNAL