Acara The most Participants In A Prenatal Workshop anjuran MommyDaddy&i mencipta rekod tersendiri apabila berjaya mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dengan jumlah kehadiran sebanyak 406 peserta.
Pengerusi Puspanita Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datin Roszita Imaduddin berkata, pihaknya menyokong usaha sedemikian yang dapat menyediakan ibu bapa untuk menyambut kelahiran pertama mereka.
“Program ini bermanfaat terutama kepada bakal ibu kerana ia mengupas pelbagai topik yang boleh membantu mereka untuk berdepan dengan proses kehamilan,” katanya.
Menurut beliau, dengan kehadiran suami di sisi yang menyokong sewaktu tempoh mengandung, ia secara tidak langsung membantu memelihara kesihatan mental isteri.
“Program ini turut memberi pendedahan kepada bapa-bapa mengenai tugas yang perlu mereka lakukan ketika isteri hendak bersalin atau selepas melahirkan anak,” katanya.
The Most Participants In A Prenatal Workshop berlangsung di Pusat Konvensyen i-City Shah Alam, Selangor pada 19 Mac lalu.
Majlis penyerahan sijil diserahkan wakil MBOR, iaitu Edwin Yeoh Tiong Chin dan Siti Nurhanim Mohd Noh kepada Pengasas MommyDaddy&I, Chew Meng Li; Pengurus Besar Hospital Columbia Asia, Ong Gait Cheng dan Pengurus Besar Hospital Columbia Petaling Jaya, Yasser Arafat sambil disaksikan Roszita.
Sementara itu, Pengasas MommyDaddy&i, Chew Meng Li, berharap, bakal ibu bapa tidak melepaskan peluang untuk meraih ilmu pengetahuan baru terutama buat mereka yang menjangkakan ketibaan cahaya mata sulung.
Katanya, dengan pendedahan topik sebelum dan selepas kehamilan disediakan, program itu dapat membantu mendidik bakal ibu bapa untuk bersedia dengan penjagaan bayi baru lahir.
“Bengkel Mommy Daddy & I yang komprehensif direka khas untuk bakal ibu bapa bagi membincangkan topik seperti penyusuan, penjagaan bayi, pemakanan, serta mengadakan sesi praktikal untuk memudahkan pemahaman ibu bapa.
“Kami juga menawarkan pengalaman unik pertama di Malaysia iaitu pengalaman kehamilan untuk bakal bapa merasai pengalaman seperti dilalui isteri ketika bersalin iaitu melalui demonstrasi empathy belly simulasi kontraksi,” katanya. – JURNAL