Kerajaan Negeri Terengganu berjaya membuktikan “Sukan Patuh Syariah” dan “Fit Is Sunnah,” mampu dilaksana dan direalisasikan menerusi acara Muay Thai.
TFight Festival 2023 telah membuktikan bahawa sukan Muay Thai boleh dijalankan tanpa mendedahkan aurat.
Ditambah lagi dengan trademark “Sukan Patuh Syariah” dan “Fit Is Sunnah,” yang merupakan inisiatif oleh Kerajaan Negeri Terengganu dan Majlis Sukan Negeri Terengganu.
Selain itu, acara ini juga melakar sekarah apabila diakui oleh The Malaysia Book of Records dengan mengadakan persembahan seni bela diri tanpa henti selama 16 jam.
Acara penyampaian sijil disempurnakan oleh wakil The Malaysia Book Of Records, Mohd Nazrul Hafizi kepada Presiden Muaythai Terengganu Master Najmi Abdullah.
Berlangsung selama dua hari bermula 29 hingga 30 September lalu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, acara ini turut disertai 11 persatuan dan pertubuhan seni mempertahankan diri di Malaysia seperti Taekwando, Karate, Wusyu, Pertubuhan Seni Gayung Serantau Malaysia Negeri Terengganu, Judo, Karate PDRM, Muaythai dan Pesaka.
Presiden Muaythai Terengganu, Master Najmi Abdullah berkata, acara tersebut mencapai sasaran apabila kehadiran pengunjung mencecah 20,000 orang.
“Kami bangga mengumumkan bahawa kehadiran pengunjung dalam acara ini mencapai angka luar biasa, sekitar 20,000 orang pengunjung dan pelancong yang hadir untuk menyaksikan dan merasai semangat TFight Festival 2023.
“Ini adalah penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjadikan acara ini kejayaan besar.
“TFight Festival 2023 telah mencipta sejarah dalam dunia Muaythai dan menjadi contoh bagaimana olahraga dapat mempromosikan nilai-nilai perpaduan pada masyarakat.
“Kami berharap bahawa semangat yang diperlihatkan dalam acara ini akan terus memberikan inspirasi kepada masyarakat untuk hidup sihat, aktif, dan patuh terhadap nilai-nilai yang dipraktik,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) pula menganjirkan dua acara iaitu, Kejuaraan Amatur Muaythai dan Kejuaraan Amatur Kickboxing yang berlangsung serentak di perkarangan Stadium Tertutup Gong Badak, bermula jam 9.00 pagi hingga 6 petang.
Acara utama program ini adalah T-Fight Terengganu International Muay Thai untuk tujuh pertarungan meliputi 1 Super Fight (3 pertarungan) dan 4 Super Fight (4 pertarungan).
Menampilkan nama-nama besar petinju muaythai Malaysia seperti Mohammad Rafi bin Abdul Manaf (Mat Ropi), Ali Yaakob dan Alif Rakid.
Turut hadir menyaksikan pertarungan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan, Haji Hishamuddin Abdul Karim, Mufti Terengganu Darul Iman, Prof. Madya Dr. Mohamad Sabri Haron dan Ketua Polis Terengganu, DCP Datuk Mazli Mazlan.
Turut hadir memberikan sokongan ialah General Secretary of the International Federation of Muaythai Amateur, wakil daripada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia serta wakil Majlis Sukan Negeri Terengganu, Stephen Fox. – JURNAL