Tesla telah mengumumkan pelancaran Program Pertukaran EV di Malaysia, menawarkan insentif masa terhad bernilai RM10,000 untuk menggalakkan pemilik kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) beralih ke kenderaan elektrik (EV) Tesla.
Menurut Tesla, program ini memberi peluang kepada pemilik kereta untuk menukar kenderaan ICE milik persendirian dengan EV sepenuhnya, menjadikan proses pertukaran ini mudah dan pantas.
“Dengan menawarkan insentif besar ini, Tesla menggalakkan pelanggan membuat pertukaran, sekali gus mengurangkan jejak karbon mereka dan menyumbang kepada alam sekitar yang lebih bersih,” ujar Tesla dalam kenyataan mereka.
Program ini dilengkapi ciri penilaian segera dalam talian untuk tukar beli, membolehkan pelanggan mendapatkan nilai kenderaan mereka dengan cepat. Proses tukar beli turut direka untuk mempermudahkan peralihan daripada kenderaan ICE ke kereta Tesla yang berasaskan pengangkutan lestari.
Selain insentif RM10,000, Tesla juga menawarkan kadar faedah sifar peratus dan bayaran muka serendah 10 peratus. Pelanggan yang berminat turut layak memohon Insentif Hijau yang disediakan untuk menyokong penggunaan EV di Malaysia.
Di Malaysia, Tesla menawarkan Model 3 dengan harga bermula daripada RM181,000 dan Model Y dengan harga daripada RM191,000, masing-masing dengan purata bayaran harian serendah RM55 dan RM58. – JURNAL