Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, hari ini menegaskan bahawa beliau tidak pernah mempersoalkan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau langkah pematuhan sijil halal.
Penjelasan itu dibuat selepas beliau selesai memberikan keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) selama kira-kira dua jam.
Bagaimanapun, sebagai Setiausaha Publisiti DAP, Teresa menjelaskan bahawa sebagai seorang wakil rakyat, adalah tanggungjawabnya untuk menyuarakan kebimbangan serta masalah yang dihadapi oleh rakyat berbilang kaum di Malaysia.
“Saya mempunyai tanggungjawab untuk menyuarakan masalah rakyat dan saya meminta kerajaan mengkaji semula cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. Saya tidak mempersoalkan mengenai sijil halal, peranan JAKIM, atau agama Islam,” katanya kepada pemberita selepas sesi keterangan tersebut.
Teresa juga menekankan bahawa beliau akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan ini, namun berharap agar semua pihak dapat bertenang.
“Saya harap isu ini akan tenang dan reda kerana banyak pihak sudah menyatakan pandangan mereka masing-masing,” tambahnya lagi. – JURNAL
Sumber: Berita Harian