Tentera udara Jordan menghantar bekalan perubatan penting ke hospital lapangan di Genting Gaza yang dikepung, kata Raja Abdullah II pada awal Isnin.
Menurutnya, tindakan itu sebagai memenuhi kewajipan untuk membantu rakyat Palestin yang cedera dalam perang di Gaza.
“Kakitangan tentera udara kami yang tidak gentar menghantar bantuan perubatan segera pada tengah malam ke hospital lapangan Jordan di Gaza.
“Kami akan sentiasa berada di sana untuk saudara-saudara Palestin kami,” katanya di X.
Rejim Zionis pada Ahad membedil Gaza untuk hari ke-30 berturut-turut sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas di sempadan Israel.
Bagaimanapun, operasi tersebut telah meragut hampir 10,000 nyawa orang awam dengan kira-kira dua pertiga daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak.
Tel Aviv juga berulang kali menolak gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata segera dengan alasan ‘tekanan demi tekanan’ ke atas Gaza akan melumpuhkan pejuang Hamas. – JURNAL
Sumber: AFP, SINAR HARIAN