Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan beliau akan menyertai PKR dan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.
Tengku Zafrul menegaskan, tiada keputusan dibuat mengenai penyertaannya ke dalam mana-mana parti, meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan wujud perbincangan awal berhubung perkara itu.
“Saya pernah berbincang dengan PKR, tetapi tiada sebarang perbincangan melibatkan jawatan di peringkat negeri atau pilihan raya kecil. Apa pun, saya belum membuat keputusan. Jika ada, saya akan memaklumkan secara rasmi kepada pucuk pimpinan parti saya,” katanya dalam hantaran di Instagram malam tadi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu turut meluahkan rasa terkejut dengan kenyataan kepimpinan partinya mengenai isu tersebut. Tambahnya, beliau tidak menerima sebarang panggilan daripada UMNO untuk mendapatkan penjelasan.
Beliau menegaskan fokusnya kini adalah menjalankan tugas sebagai anggota pentadbiran kerajaan bagi manfaat rakyat.
“Saya meninggalkan dunia korporat untuk berkhidmat kepada negara. Politik ekstrem dan serangan belakang tabir bukanlah apa yang rakyat mahukan,” ujarnya.
Tengku Zafrul menyeru semua pihak untuk memberi tumpuan kepada dasar-dasar pembangunan negara yang bermanfaat kepada rakyat.
“Saya yakin khemah besar Kerajaan Perpaduan berfungsi dengan semangat kerjasama yang utuh. Perbezaan pendapat dalam kalangan parti komponen tidak harus mengganggu matlamat utama kita untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dakwaan mengenai penyertaan Tengku Zafrul ke dalam PKR terus menjadi tumpuan, namun beliau menegaskan bahawa keputusan akhir akan dibuat dengan penuh adab dan teliti. – JURNAL