Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, menzahirkan rasa kecewa dan kemurkaan terhadap tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa memperlekehkan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Menurut kenyataan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu kerana menyentuh sentimen 3R (raja, agama, dan kaum) secara sengaja.
Baginda menegaskan bahawa kenyataan Muhyiddin, yang juga bekas Perdana Menteri, telah memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif, seolah-olah Al-Sultan Abdullah tidak berlaku adil dalam pemilihan Perdana Menteri ke-10.
“Kenyataan ini menunjukkan ketidakmatangan dan mencerminkan keengganan beliau menerima keputusan bahawa beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.
Tindakan ini berpotensi menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan masyarakat,” titah Tengku Hassanal.
Baginda turut menekankan bahawa berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, pelantikan Perdana Menteri adalah atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara, selaras dengan Perkara 43(2) yang menetapkan Perdana Menteri harus mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Al-Sultan Abdullah, bagaimanapun, tidak membuat keputusan secara sewenang-wenangnya, malah mendapatkan nasihat pakar perlembagaan, penjawat awam utama, dan pandangan Majlis Raja-Raja sebelum melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, dengan usul undi percaya diluluskan pada 19 Disember 2022.
Tengku Hassanal juga mengingatkan ahli politik agar memegang teguh kepada Prinsip Rukun Negara dan berusaha menyatupadukan rakyat demi kemajuan negara.
Sebelum ini, ucapan Muhyiddin yang didakwa menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika ceramah PRK Dewan Undangan Negeri Nenggiri di FELDA Perasu pada 15 Ogos telah tular.
Susulan itu, laporan polis telah dibuat oleh Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, Amir Syafiq Hamzah, di Balai Polis Kuantan. – JURNAL
Sumber: Instagram Kesultanan Pahang