Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan supaya pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap dakwaan serangan melibatkan kerabat diraja Pahang terhadap orang awam.
Baginda memandang serius dakwaan bahawa seorang individu bernama Alias Awang diserang oleh seorang kerabat Diraja Pahang bersama sekumpulan individu yang didakwa menggunakan senjata tajam dan pistol, sehingga menyebabkan kecederaan.
“Saya menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk segera menjalankan siasatan yang telus dan adil, tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak, agar keadilan dapat ditegakkan. Jika terbukti ada kesalahan, tindakan sewajarnya harus diambil di mahkamah,” titah Tengku Hassanal.
Baginda juga menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan, termasuk melindungi mana-mana kerabat diraja yang terlibat dengan jenayah.
“Semua pihak adalah sama di sisi undang-undang, dan saya tidak akan melindungi mana-mana pihak, termasuk kerabat, yang terlibat dengan jenayah atau melanggar undang-undang,” tambah baginda.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pekerja pembinaan dan penyelenggaraan mendakwa diserang oleh seorang kerabat diraja Pahang bersama sekumpulan individu.
Mangsa mengalami kecederaan di paha dan kaki, memerlukan beberapa jahitan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, mengesahkan bahawa kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan. – JURNAL