Ketiadaan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di tempat banjir sejak Ahad lalu, terjawab apabila pemimpin itu disahkan berada di Auckland, New Zealand.
Perkara itu disahkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu Hanafiah Mat sambil memaklumkan Ahmad Samsuri akan pulang hari ini.
Sebelum ini, Rakyat Terengganu meluahkan rasa kecewa apabila Samsuri didakwa tidak turun padang dan tidak kelihatan ketika negeri itu dilanda bencana banjir besar.
Keberadaan Samsuri menjadi tanda tanya ramai sehingga warganet di media sosial tertanya-tanya di manakah beliau.
Menguatkan lagi dakwaan apabila tular satu tangkap layar hantaran Facebook yang dimuat naik jurugambar peribadi kepada Samsuri, iaitu Hishamuddin Abdullah.
“Mereka kata MB tak cakna rakyat tak pedulikan rakyat. Silakan dengan tohmahan. Untuk ifno, MB mempunyai dua orang anak yang belajar di New Zealand dan dua orang cucu.
“Kebetulan tarikh ke sana itu, Terengganu ditimpa musibah banjir yang besar. Jadi terpulanglah pada rakyat Terengganu hendak menilai dari sudut mana. Masing-masing ada hak sendiri,” katanya.
Pada hantaran tersebut Hishamuddin turut menyertakan beberapa keping foto Samsuri melawat mangsa banjir yang didakwa dirakam sebelum ke New Zealand.
Hantaran tersebut bagaimanapun telah dipadam dari Facebook. – JURNAL
Sumber: BH Online, Twitter