Tawaran pekerjaan bagi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam sektor swasta masih berada pada tahap rendah di negara ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, faktor kesesuaian bidang dan kemudahan infrastruktur mungkin menjadi kekangan utama dihadapi oleh majikan swasta.
“Namun, golongan OKU kini memiliki pendidikan tinggi dan mampu diserap untuk bekerja menerusi bimbingan dan latihan dalam bidang masing-masing.
“Cuma jumlah itu masih tidak ramai ketika ini dan sektor swasta digalakkan terus menawarkan peluang kepada mereka sama seperti insan normal lain,” katanya selepas merasmikan Kilang Gardenia Bakers Maison, Seksyen 26 di sini, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik jumlah tawaran kerja di kalangan para majikan berkenaan.
Tambah Nancy, kerajaan turut menjalin kerjasama berterusan dengan sektor swasta menerusi program ‘Job Approaching’ bagi meningkatkan tawaran pekerjaan kepada rakyat termasuk OKU.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Gardenia bagi memperkasakan lagi program Bengkel Daya dan Anjung Sinar di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Bengkel Daya merupakan bengkel khusus bagi OKU yang tidak dapat pekerjaan di pasaran terbuka. Ia memfokuskan latihan dan peluang pekerjaan kepada golongan itu dalam pelbagai bidang termasuk roti dan pastri sekali gus membantu mereka memperoleh sumber pendapatan,” katanya. – JURNAL
Sumber: KOSMO!