Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sekali lagi mengingatkan semua umat Islam di negara ini agar menunggu pengumuman rasmi berhubung tarikh 1 Syawal bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Jelasnya, pengumuman rasmi itu hanya akan dibuat pada Khamis, 20 April 2023, jam 8 malam di semua saluran rasmi.
Fahmi berkata, Malaysia hanya merujuk kepada pengumuman dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan bukan daripada pihak-pihak lain.
“Jadi kalau tuan-tuan dan puan-puan terima apa-apa info (tarikh 1 Syawal), sama ada pukul 6 petang, 6.30 petang atau 7 petang jangan percaya.
“Tunggu pengumuman rasmi. Kita tidak ikut pengumuman seperti di Arab Saudi, India atau Indonesia, kecuali kita beraya di sana.
“Kita di Malaysia akan rujuk pengumuman dari Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. InsyaAllah saya percaya sambutan Aidilfitri akan jatuh pada satu Syawal. Jadi apa pun tak akan lari,” katanya semasa berucap pada program sumbangan komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai dan berbuka puasa di PPR Sri Pantai di ibu negara pada Ahad.
Justeru katanya, semua pihak diingatkan agar bersedia dengan kemungkinan tarikh 1 Syawal yang diumumkan nanti bagi mengelak sebarang kekalutan. – JURNAL
Sumber: Awani