Tangisan mengiringi suasana pilu di Mahkamah Sesyen hari ini apabila ‘Abang Bas,’ seorang pemandu bas sekolah berusia 24 tahun, sekali lagi dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan membuat komen jelik melalui aplikasi TikTok bulan ini.
Sewaktu dibawa keluar dari mahkamah dan masuk ke dalam kereta polis, ahli keluarga memberi kata-kata semangat, “Sabar Din, kami ada,” sementara dia kelihatan menitiskan air mata.
Suasana semakin pilu apabila bapanya yang baru tiba, bergegas untuk bertemu dengan anaknya.
Pertemuan singkat itu menyaksikan mereka berpelukan erat sambil tangisan mengalir, dengan bapa memohon anaknya bersabar menghadapi ujian ini.
Sebelum meninggalkan kawasan mahkamah, ‘Abang Bas’ sempat memberikan isyarat ‘mini love’ kepada ahli keluarganya.
Dalam prosiding terdahulu, lelaki itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh dan memohon untuk dibicarakan.
Dia menghadapi tiga pertuduhan termasuk dua lagi kes di Mahkamah Sesyen Muar dengan jumlah ikat jamin keseluruhan RM40,000.
Kes ini mula mendapat perhatian ramai selepas tular di TikTok mengenai tindakannya merakam gambar dan video penumpang bas, dipercayai pelajar sekolah rendah, serta menggelar murid itu sebagai ‘crush’ dan ‘kesayangan.’
Tindakan merakam tanpa kebenaran itu mencetuskan kemarahan ibu bapa kerana ia melanggar hak privasi kanak-kanak seperti termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001.
Akibat kontroversi tersebut, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, telah mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) untuk membuat laporan polis bagi menyiasat kes tersebut. – JURNAL
Sumber: Berita Harian