Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, dijangka akan didakwa esok di Mahkamah Gua Musang berikutan siasatan terhadap ceramahnya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang didakwa menyentuh isu sensitif berkaitan kaum, agama, dan raja (3R).
Perkara ini disahkan oleh Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor, yang ketika dihubungi berkata,
“Ya. Tan Sri akan didakwa esok di Mahkamah Gua Musang berhubung ceramahnya di PRK Nenggiri baru-baru ini.”
Sebelum ini, media melaporkan bahawa kertas siasatan berhubung ucapan Tan Sri Muhyiddin yang didakwa menyentuh isu 3R telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, juga memaklumkan bahawa setakat ini, polis telah mengambil keterangan daripada 66 saksi bagi membantu siasatan.
Ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16, sebelum ini tular di media sosial, mencetuskan kontroversi dan tindakan susulan oleh pihak berkuasa. – JURNAL
Sumber: Harian Metro