Seorang lelaki warga India diberkas polis kerana disyaki membunuh suami kekasihnya di sebuah banglo di Subang Jaya pada Mei tahun lalu sebelum menanam mayat mangsa di lereng bukit belakang kediaman itu.
Suspek ditahan berhubung laporan diterima pihak polis pada jam 4.45 petang Khamis lalu bahawa lelaki itu mengaku membunuh dan menanam rakan senegaranya yang berusia 25 tahun.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek membuat pengakuan itu di Ampang Jaya, sebelum pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, melakukan soal siasat lanjut terhadapnya.
“Suspek kemudian menunjukkan lokasi mangsa ditanam dan kejadian tersebut dipercayai berlaku di banglo terbabit yang berfungsi sebagai pusat jagaan orang tua.
“Difahamkan, leher mangsa telah dikelar menggunakan pisau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Azlan menambah, hasil pemeriksaan dijalankan petugas forensik menemukan bungkusan plastik yang digunakan suspek untuk membalut tubuh mangsa.
“Susulan itu, polis turut menahan isteri mangsa yang juga kekasih suspek (warga India) bersama dua wanita tempatan serta seorang wanita Indonesia berusia antara 25 hingga 35 tahun.
“Kesemua mereka yang bekerja di pusat berkenaan ditahan sejak Khamis lalu bagi membantu siasatan.
“Hasil semakan mendapati suspek wanita warga India tidak memiliki pasport dan mereka semua tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya.
Beliau berkata, motif pembunuhan itu dipercayai kerana mangsa mengetahui hubungan sulit antara isterinya dengan suspek.
“Setakat ini, senjata pembunuhan dalam kejadian itu (pisau) masih belum ditemukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – JURNAL