Senario suami dirampas oleh wanita lain semakin kerap didengar dalam kalangan selebriti tempatan sejak kebelakangan ini dan menjadi topik perbualan hangat warganet.
Tidak ketinggalan, pakar motivasi terkenal, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad juga terpanggil untuk memberi pesanan kepada para wanita yang menyimpan niat untuk merampas kebahagiaan orang lain.
“Pertama, setiap perkara tidak baik yang awak buat, akan berbalik kepada awak semula sebab ada niat jahat,” memetik kata-kata dikongsikannya di media sosial.
@profmuhayaSemoga malam-malam terakhir Ramadan ini, kita memohon keampunan kepada Allah. Semoga bermanfaat
Tambah beliau, perampas berkenaan juga akan terluka sekiranya dia berbuat demikian, selain hidupnya tidak tenteram.
“Kedua, setiap kali kita memilih untuk melukakan orang lain, maka kita juga akan terluka.
“Ketiga, kita tidak akan boleh bahagia atas derita orang lain,” tambahnya lagi.
Di kesempatan itu, beliau menyeru kepada para wanita di luar sana agar tidak ‘menyondol’ suami orang dengan menggunakan kecantikan diri atau sebarang tindakan yang boleh meruntuhkan masjid dibina oleh pasangan terbabit.
Ini kerana menurut Muhaya, kesakitan yang dialami si isteri pasti akan dirasai oleh ‘penyondol’ pada masa mendatang. – JURNAL