Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) menghulurkan bantuan sebanyak RM500,000 kepada mangsa banjir di seluruh negara melalui Program Skuad Musa’adah Al-Falah bersama Jakim.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal, berkata sumbangan tersebut yang disalurkan menerusi Tabung Musa’adah adalah langkah segera membantu komuniti terjejas bencana.
“Kami komited membantu golongan kurang bernasib baik serta membina masyarakat prihatin,” katanya, menegaskan bahawa ia merupakan tanggungjawab sosial korporat syarikat.
Replika cek sumbangan diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, sebagai simbolik komitmen Takaful Malaysia terhadap pembangunan komuniti.
Menurut Nor Azman, bantuan kewangan itu akan digunakan untuk pelbagai keperluan mangsa banjir, termasuk memberi bantuan kewangan harian, menyokong pendidikan dan rawatan kesihatan, membaik pulih kediaman dan menyediakan alat sokongan untuk individu berkeperluan khas.
“Kami berharap dapat meringankan beban mangsa dan membantu mereka bangkit meneruskan kehidupan,” katanya lagi.
Takaful Malaysia juga menegaskan komitmen untuk terus menyokong usaha kemanusiaan melalui program tanggungjawab sosial korporat mereka.
“Kerjasama antara kerajaan, organisasi korporat, dan masyarakat amat penting bagi membina komuniti berdaya tahan,” tambah beliau.
Langkah ini membuktikan sokongan berterusan Takaful Malaysia terhadap usaha kebajikan serta pembangunan masyarakat yang memerlukan. – JURNAL
Sumber: Kosmo!