Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin menyelar kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menuduhnya ketika penggulungan perbahasan usul berkenaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Mohd Radzi yang juga bekas Menteri Kanan Pendidikan berkata, setelah mendengar kenyataan Anwar itu, beliau hanya mahu mempertahankan maruah selain menyifatkan pantang dengan manusia tidak jujur.
“Jadi, bila dengar perkara ini, saya pantang orang yang tidak bercakap benar dan akan pertahankan maruah saya.
“Atas dunia ini, saya tak takut dengan sesiapa kecuali Allah SWT.
“Sebab itu saya bangun untuk mempertahankan maruah, meminta supaya Anwar tarik balik tuduhan beliau terhadap saya,” katanya menerusi hantaran video berdurasi dua minit 58 saat di Facebook.
Sebelum ini, Dewan Rakyat kecoh apabila Mohd Radzi bangkit meminta Speaker, Tan Sri Johari Abdul mengarahkan Ahli Parlimen Tambun itu menarik balik kenyataan yang didakwa sebagai sangkaan jahat terhadapnya.
Anwar ketika menjawab mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menyentuh Putrajaya pernah buat perkara sama semasa pentadbiran terdahulu dengan merujuk Siti Aisyah yang dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan membunuh warga Korea Utara, Kim Jong-Nam, selepas pendakwa raya menggugurkan pendakwaan terhadapnya, pada Mac 2019.
Dakwa Mohd Radzi, Anwar telah memutarbelitkan kenyataan dengan mengatakan beliau tidak maksudkan Ahli Parlimen Putrajaya, sebaliknya pemerintahan sebelumnya.
“Apabila bercakap tentang kebenaran, saya tidak akan berganjak, pertahankan maruah saya.
“Sehinggalah saya diminta untuk keluar dewan, dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersepakat bahawa kalau Anwar tak tarik, tak berlaku adil pada saya, maka ahli Perikatan Nasional (PN) yang lain akan keluar dewan,” ulasnya. – JURNAL
Sumber: SINAR HARIAN