Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, secara rasmi menarik diri daripada menyokong Kerajaan Perpaduan berkuat kuasa serta-merta dan menjadi pembangkang kuasa ketiga.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam satu kenyataan hari ini, berkata antara sebab tindakan Syed Saddiq itu adalah keputusan Peguam Negara yang mendorong keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebas Datuk Seri Zahid Hamidi daripada 47 kes pertuduhan.
Kata kenyataan itu, tindakan itu yang dibuat tanpa penjelasan yang menyakinkan telah menimbulkan banyak tanda tanya kepada rakyat secara umum.
“Ini kerana keputusan Peguam Negara melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap 47 kes pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram tanpa sebarang penjelasan yang menyakin telah menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada rakyat.
“Sesungguhnya, ini melanggar prinsip kerajaan MADANI yang ingin melawan rasuah,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, MUDA berkata, parti itu berpegang teguh kepada prinsip Kedaulatan Undang-Undang dan beberapa keputusan yang dilakukan oleh kerajaan baru-baru ini bertentangan dengan prinsip dan nilai tersebut.
“(Selain itu, ia berkaitan) isu integriti dan budaya rasuah. Sehubungan keputusan tersebut, MUDA percaya bahawa institusi perundangan negara ini telah dicemari dan kerajaan Perpaduan seolah-olah telah menormalisasikan budaya rasuah,” ujar beliau.
Menurutnya, janji-janji reformasi yang ditaburkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diabaikan dengan pelbagai alasan oleh kerajaan hari ini.
Namun demikian, beliau memberitahu, meskipun MUDA berada di blok pembangkang sebagai kuasa ketiga, parti itu akan terus komited untuk menyokong usaha kerajaan dalam agenda pembangunan negara progresif yang memerlukan undi dua per tiga dewan seperti agenda reformasi institusi.
Kata kenyataan itu lagi, Syed Saddiq telah memaklumkan keputusan itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul melalui surat rasmi untuk memberi pertimbangan di bawah Peraturan Mesyuarat 2(2) Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Rakyat. – JURNAL
Sumber: ASTRO AWANI