Tiga beradik yang maut direnjat elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak, Tumpat, Kelantan semalam keluar di sekitar rumah mereka untuk melihat banjir.
Dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, mangsa, Nor Syazwani Mohd Nazir, 33, Sakinah, 29, dan Nurul Fatiah, 27, disahkan maut di lokasi kejadian.
Menurut jirannya, Che Zahiyah Che Yaakob, 53, dia melihat tiga beradik itu berjalan melintasi rumahnya dan sempat bertanyakan arah tuju mereka sebelum Syazwani memberitahu ingin melihat tali air di hadapan rumah.
“Syazwani pegang pada tiang rumah saya dan tiba-tiba dia terus terjatuh sebelum badannya menjadi kejang dan tersentak sebelum Fatiah yang berada di belakang cuba membantu namun turut mengalami keadaan sama.
“Sakinah yang berjalan di hadapan kemudian terus berpatah balik untuk menolong, malangnya turut terjatuh serta kekejangan seperti dua beradiknya.
“Saya terus menjerit memanggil ahli keluarga lain dan suami segera mengambil kain untuk menyentuh seorang daripada mereka tetapi turut terasa arus elektrik menyebabkan dia berundur,” ceritanya.
Zahiyah menambah, penduduk kampung segera menghubungi bomba dan polis untuk memaklumkan kejadian itu.
Sementara itu, ibu mangsa, Zainun Sulaiman, 62, menjelaskan, ketiga-tiga anak perempuannya masih bujang dan mereka sangat rapat.
Katanya, Syazwani dan Fatiah yang merupakan guru tadika sempat memasak nasi goreng dan membuat cucur untuk sarapan sebelum menyiapkan kerja rumah lain.
“Sakinah pula kurang sihat serta berasa sakit dada dan dia merasakan macam mu
nak mati disebabkan kesakitan dialaminya, namun saya memarahinya sambil mengatakan ia sakit biasa saja.
“Ketika sedang berehat di ruang tamu, saya terdengar bunyi bising orang menjerit dari sebelah rumah dan keluar untuk melihat keadaan yang berlaku.
“Saya ternampak tiga anak perempuan terbaring di dalam air sebelum diberitahu mereka sudah meninggal dunia kerana renjatan elektrik,” katanya.
Mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Morak sebaik proses pembedahan selesai. – JURNAL
Sumber: Harian Metro