Syarikat jenama fesyen, Zara menarik balik imej iklan koleksi produk terbaharu yang mengundang kemarahan orang ramai kerana didakwa mempersendakan perang di Semenanjung Gaza.
Gambar kempen itu mencetuskan kontroversi dalam kalangan kumpulan pro-Palestin yang menggelarnya sebagai perkara menjijikkan ‘pernah dilihat’.
Kumpulan penunjuk perasaan mengadakan protes berhampiran gedung fesyen itu di seluruh dunia.
Kempen iklan itu memaparkan beberapa model bergambar bersama ‘arca belum siap dibina’ di sebuah studio dengan Zara mendakwa ia ‘direka dengan tujuan untuk mempamerkan pakaian buatan kraf dalam konteks artistik’.
Netizen bagaimanapun menganggap gambar koleksi produk diberi nama ‘The Jacket’ yang dikongsikan syarikat itu menggambarkan perang Israel di Semenanjung Gaza yang berterusan dikepung dan digempur tentera Israel.
Sebagai tindak balas kepada kemarahan netizen, Zara menarik keluar iklannya dan membuat permohonan maaf.
“Malangnya, sesetengah pelanggan berasa tersinggung dengan imej ini, yang kini dialih keluar dan melihatnya dalam sesuatu yang jauh dari apa yang dimaksudkan ketika ia dicipta. Zara kesal dengan salah faham yang berlaku dan kami menegaskan rasa hormat kepada semua orang,” kata kenyataan itu. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO