Dua syarikat tempatan, KN Aluminium & Engineering Sdn Bhd dan Northern Shipyard Sdn Bhd, mencipta sejarah apabila berjaya menyiapkan kapal peronda canggih, 38M Sea Eagle, untuk Tentera Laut Nigeria.
Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa, tetapi juga membuktikan keupayaan syarikat tempatan dalam sektor pembinaan perkapalan.
Pengarah Urusan dan Pengasas KN Aluminium & Engineering Sdn Bhd, Khee Chee Kheong, meluahkan rasa teruja dengan pencapaian ini, sambil menyatakan bahawa ia mencerminkan komitmen syarikat dalam menyediakan penyelesaian maritim yang inovatif dan canggih.
“Ini adalah penghormatan besar, lebih-lebih lagi ketika bulan kemerdekaan Malaysia. Kami bangga dapat menyempurnakan dan menyerahkan projek ini di peringkat antarabangsa, membuktikan keupayaan syarikat tempatan,” kata Chee Kheong pada Majlis Penyempurnaan Pembinaan Kapal Peronda 38M Sea Eagle, yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, di Northern Shipyard Sdn Bhd, Langkawi.
Turut hadir, Pengarah Urusan Northern Shipyard Sdn Bhd, Ooi Cheng Choon, yang turut berharap agar kerajaan Malaysia memberi lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk menghasilkan kapal buatan Malaysia.
Chee Kheong menegaskan bahawa syarikat mereka memiliki kepakaran dan teknologi terkini untuk membina kapal-kapal canggih.
Ini terbukti dengan kejayaan membina kapal peronda 38M Sea Eagle, yang mengambil masa 24 bulan untuk disiapkan dari Februari 2022 hingga Februari 2024.
Menurut Pengurus Besar KN Aluminium & Engineering Sdn Bhd, Calvin Yong, kapal peronda sepanjang 38 meter dan lebar tujuh meter ini dilengkapi dengan dua enjin MTU buatan Jerman yang mampu mencapai kelajuan maksimum 29 knot.
Kapal ini juga boleh menghasilkan lima tan air bersih sehari dan menyimpan 42,980 liter diesel, membolehkannya belayar tanpa henti selama lima hari.
Menariknya, pembinaan kapal ini melibatkan 85 anak tempatan, termasuk lima wanita, yang turut memainkan peranan penting dalam kejayaan projek ini.
“Kapal yang dibina oleh syarikat tempatan ini adalah satu kebanggaan bagi rakyat Malaysia,” ujarnya.
Yong menambah bahawa kejayaan ini membuktikan kepakaran Malaysia, khususnya di Pulau Langkawi, dalam membina kapal-kapal canggih yang setanding dengan standard antarabangsa. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian