Syarikat penyedia perkhidmatan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd menafikan pihaknya menaja umrah Abang Tesla atau nama sebenar Mohammad Khaliltizam Yusri dan dua isterinya.
Pengurusan tertinggi dalam sebuah kenyataan berkata, Abang Tesla dan keluarganya membayar sepenuhnya kos percutian dan umrah (Pakej Umrah Ziarah Istanbul Bursa) mereka sendiri.
“Merujuk kepada laporan yang tular di media sosial.
“Syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd sebagai penyedia perkhidmatan umrah ingin menafikan dakwaan bahawa kami telah menaja umrah Abang Tesla dan rombongannya.
“Dakwaan ini adalah tidak benar. Abang Tesla dan keluarganya membayar sepenuhnya kos percutian & umrah (Pakej Umrah Ziarah Istanbul Bursa) mereka sendiri.
“Kami hanya menyediakan perkhidmatan pakej umrah ziarah kepada pelanggan kami yang ingin menunaikan umrah.
Kami berharap dakwaan ini akan dapat dihentikan dan kami memohon
maaf atas sebarang kekeliruan yang telah timbul,” menurut kenyataan terbabit.
Dalam pada itu, syarikat tersebut turut memohon orang ramai menghormati serta memberi ruang kepada Abang Tesla mengerjakan ibadah umrah.
“Kami mohon agar semua pihak dapat menghormati serta memberi ruang kepada Abang Tesla dan kedua-dua isterinya menjalani perjalanan umrah dan ziarah Istanbul mereka bersama dengan tenang dan penuh kasih sayang.
“Kami juga memohon agar semua warga netizen sama-sama mendoakan mereka memperoleh umrah yang mabrur dan doa-doa yang maqbul, Insya-Allah.
“Kami juga berharap melalui notis pengesahan dari pihak pengurusan tertinggi Andalusia Travel ini, semua kata-kata cemuhan yang kurang enak didengari di dalam sosial media akan dapat dihentikan serta merta,” kata syarikat berkenaan lagi.
Terdahulu, Abang Tesla memuat naik gambar bersama dua isterinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, bersama bagasi mereka menerusi hantaran di Instagram (IG), semalam.
Berdasarkan kapsyen pada gambar itu, Abang Tesla menyatakan mereka akan bercuti di Turkiye dan menunaikan umrah bersama buat kali pertama, selain mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd.
Bagaimanapun kapsyen tersebut telah disunting semula selepas timbul kekeliruan. – JURNAL