Syarikat induk Facebook, Meta membuang 10,000 lagi pekerja dan tidak akan mengisi 5,000 jawatan yang terbuka ketika perintis media sosial itu mengurangkan kos.
Syarikat itu hari ini berkata, ia akan mengecilkan saiz pasukan sumber manusia dan akan terus melakukan pengurangan selanjutnya pasukan teknologi pada akhir April, dan kemudiannya pasukan perniagaan pada akhir Mei.
“Ini adalah sukar dan tiada cara lain lagi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mark Zuckerberg.
“Ia bermakna mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sekerja berbakat dan bersemangat yang menjadi sebahagian daripada kejayaan kami.”
Syarikat berpangkalan di Menlo Park, California, itu telah melabur berbilion dolar untuk menyelaras semua fokusnya terhadap ‘metaverse’.
Februari lalu, ia mencatatkan keuntungan dan pendapatan suku keempat lebih rendah, dijejaskan oleh penurunan pasaran pengiklanan dalam talian serta persaingan daripada syarikat pesaing seperti TikTok.
Syarikat itu mengumumkan 11,000 pemberhentian pekerja November lalu.
“Ketika saya bercakap mengenai kecekapan tahun ini, saya mengatakan bahawa sebahagian daripada tugas kami akan membabitkan pembuangan pekerja , dan ia adalah bagi membina syarikat lebih teknikal, lebih tangkas serta meningkatkan prestasi perniagaan bagi mengupaya wawasan jangka panjang kami,” kata Zuckerberg. – JURNAL
Sumber: AP