Pengarah filem, Syamsul Yusof, hari ini menarik balik saman difailkan terhadap pegawai penyiasat dan pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang didakwa menyebarkan fakta aib mengenai hubungannya dengan Ira Kazar kepada ibunya, Datin Patimah Ismail.
Peguam, Azahir Nasir yang mewakili pengarah filem ‘Mat Kilau’ berusia 39 tahun itu mengesahkan perkara itu selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, hari ini.
Dalam pernyataan tuntutan, Syamsul memfailkan saman terhadap pihak berkuasa agama itu kerana menyebarkan fakta aib dan memalukan kepada ibunya berhubung kenyataan isterinya, Faghira Fatini atau lebih dikenali Ira Kazar yang dipanggil memberi keterangan kepada JAWI, Ogos tahun lalu.
Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof selaku plaintif, mengambil tindakan undang-undang melalui Tetuan Azahir Surainie & Azizan Ariff dengan menamakan Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Penguatkuasaan JAWI, Mohd Haris Abdllah; Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail dan Maiwp sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Plaintif pernah dinobatkan sebagai Pengarah Asia Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik di Kemboja menuntut ganti rugi teladan ke atas defendan kerana didakwa dengan sengaja dan berniat jahat untuk membuka aibnya.
Syamsul juga memohon deklarasi gambar pernyataan yang mengandungi nama Syamsul dan Ira, 28, separuh tandatangan dan pernyataan bertulis adalah satu keterangan yang diambil oleh defendan atau ejennya, tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 dan undang-undang yang berkait.
Selain itu, pengarah berkenaan memohon deklarasi gambar pernyataan itu yang dirakam oleh defendan atau ejen adalah dokumen dalam kawalan mereka.
Ia termasuk deklarasi penyebaran gambar pernyataan itu dibuat oleh defendan atau ejen.
Dalam pernyataan tuntutan, Syamsul berkata, pada 20 Disember 2022, ibunya menghantar mesej menerusi aplikasi Whatsapp iaitu gambar pernyataan mengaibkan mengandungi nama Ira, separuh tandatangan dan pernyataan bertulis.
Mengikut dokumen yang diperoleh, gambar pernyataan itu mengandungi fakta mengaibkan dan memalukannya disebar kepada ibunya.
Akibat penyebaran fakta aib itu, Syamsul berkata, beliau dimarahi oleh ibunya dengan kata-kata yang mengguris perasaan selain mengalami tekanan perasaan dan akan memberi keterangan lanjut ketika perbicaraan kelak.
Katanya, tindakan defendan atau ejen mengaibkan dan memburukkan imej, nama serta reputasinya selaku pelakon dan pengarah filem.
“Tambahan lagi ia menambahkan tekanan perasaan atau ‘stress’ plaintif apabila diberitahu oleh Ira Kazar bahawa gambar pernyataan bertulis itu direka dan ditokok tambah oleh defendan pertama dan ejen kerana ia bukanlah keterangan yang diberikan oleh Ira,” katanya. – JURNAL