Sime Darby Motors, pengedar rasmi kereta BYD di Malaysia, melancarkan SUV elektrik baharu, BYD SEALION 7, yang dijangka mengubah standard prestasi dan gaya dalam pasaran kenderaan elektrik (EV). Harga atas jalan tanpa insurans bermula dari RM183,800 untuk varian Premium dan RM199,800 untuk varian ‘Performance’.
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Eagle Zhao, menyatakan bahawa BYD SEALION 7 menawarkan gabungan kuasa dan gaya premium yang memenuhi kehendak pemandu moden.
“Kami percaya BYD SEALION 7 akan mendapat sambutan hebat di Malaysia,” katanya pada pelancaran tersebut.
SUV ini hadir dalam empat warna menarik iaitu Cosmos Black, Aurora White, Atlantis Grey, dan Shark Grey untuk kedua-dua varian. Varian Premium memberikan kuasa 230 kW dan tork 380 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam 6.7 saat, dengan jarak sehingga 567 km untuk sekali cas.
Bagi pencari prestasi lebih tinggi, varian ‘Performance’ menawarkan kuasa gabungan 390 kW, tork 690 Nm, dan pecutan dari 0-100 km/j dalam hanya 4.5 saat, dengan jarak elektrik 542 km.
BYD SEALION 7 dilengkapi bateri ‘blade’ inovatif untuk ketahanan yang lebih lama dan pengecasan pantas AC 11 kW serta DC 150 kW. Ciri keselamatannya termasuk beg udara depan dan sisi, kamera 360 darjah, serta sensor parkir depan dan belakang. Teknologi bantuan pemanduan seperti kawalan pelayaran adaptif, brek kecemasan automatik, dan pengesanan titik buta turut tersedia.
Selain itu, SUV ini dilengkapi skrin sentuh 15.6 inci boleh putar, sistem audio Dynaudio 12 pembesar suara, serta bumbung kaca panorama besar. – JURNAL
Sumber: Berita Harian