Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang ketujuh dalam istiadat bersejarah sempena Konvokesyen Ke-100 universiti tersebut. Istiadat penuh adat ini berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, kampus induk UiTM, dengan kehadiran pemimpin-pemimpin dan warga universiti.
Watikah pemasyhuran disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, yang turut menjelaskan peruntukan di bawah Seksyen 19A Akta UiTM 1976, menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong menjawat jawatan Canselor dan berperanan mempengerusikan konvokesyen universiti.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Pro-Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib, yang menyatakan rasa syukur dan penghargaan atas perkenan Sultan Ibrahim.
Dalam ucapan sembah aluan, Dr. Shahrin menzahirkan komitmen UiTM untuk terus menghasilkan graduan berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
“Dengan penuh kesyukuran, seluruh warga UiTM menjunjung kasih di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong, moga institusi ini terus memainkan peranannya dalam memupuk kesarjanaan dan kecemerlangan bangsa setanding bangsa lain,” ujarnya.
Pada majlis ini, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Seni Kreatif sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangannya dalam seni kreatif.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) kepada 10 penerima. – JURNAL