Stadium Merdeka, mercu tanda ikonik dan penuh bersejarah tanah air, akan dibuka semula kepada orang ramai pada suku kedua tahun 2024 setelah ditutup sejak tahun 2016 untuk kerja pemuliharaan dan penambahbaikan.
Kerja-kerja ini dilaksanakan oleh PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, pemilik Stadium Merdeka, bertujuan memulihara dan mengekal stadium berkenaan. Usaha ini mendapat kerjasama dan sokongan Badan Warisan Malaysia dan Jabatan Warisan Negara.
Matlamat utama ialah mengembalikan Stadium Merdeka kepada keadaan asal seperti mula dibuka pada 1957. Untuk itu, tempat duduk tambahan yang dibina sebelumnya bagi menampung sehingga 45,000 penonton menjelang Sukan Asia Tenggara (SEA Games) pada 1989 dirobohkan.
Bagi kawan-kawan Kedai Kopi, Stadium Merdeka ialah aset keramat. Di sini bergemanya laungan ‘Merdeka’ penuh bersemangat selepas perisytiharan kemerdekaan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, dalam suasana syahdu dan gemilang pada pagi 31 Ogos 1957.
Stadium Merdeka menjadi saksi kelahiran sebuah negara bebas yang dicapai tanpa pertumpahan darah. Inilah detik yang tidak mungkin dilupa. Negara bebas daripada cengkaman penjajah British menjadi negara berdaulat. Terima kasih kepada pejuang dan pemimpin terdahulu yang bekerja keras menjadikan impian merdeka satu kenyataan.
Di stadium bersejarah ini juga satu lagi detik bersejarah dicatat iaitu perisytiharan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura bersatu dalam Malaysia. Namun Singapura menarik diri pada 1965.
Justeru, Stadium Merdeka sangat tinggi nilainya dan wajar dipelihara pada keadaan asal sebagai warisan sejarah asli. Usaha PNB Ventures memulihara dan menambah baik stadium sangat dihargai. Kerana nilai sejarah, stadium yang berusia 67 tahun itu terus berdiri kukuh.
Yang pasti ia tidak akan diusik kerana stadium berkenaan telah digazet sebagai warisan kebangsaan pada 17 Oktober 2005. Status ini menjamin stadium berkenaan tetap terpelihara sebagai warisan sejarah bagi tatapan generasi akan datang.
Sepanjang usianya, Stadium Merdeka menjadi venue pelbagai acara penting, seperti sambutan ulang tahun kemerdekaan, pertandingan membaca Al-Quran (sekarang dikenali musabaqah) peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta acara sukan seperti bola sepak dan hoki. – JURNAL
Sumber: WILAYAHKU