Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengenal pasti 90 individu didakwa menerima wang tunai di Terengganu untuk mengundi sebuah parti politik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Difahamkan ada antara mereka yang dikenal pasti itu sudah pun dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan isu ‘sedekah’ pengundi itu.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, berkata SPRM memerlukan sedikit masa untuk melakukan siasatan terutama bagi mengesan mereka yang berkenaan.
Ini kerana, katanya, tidak semua individu terbabit menetap di Terengganu.
“Sehubungan itu, individu yang terbabit dalam isu penerimaan wang tunai berkenaan diminta untuk tampil ke pejabat SPRM terdekat,” katanya.
Pada 24 Januari lalu, Azam dilaporkan berkata pemimpin PAS boleh mentafsirkan tindakan pemberian wang tunai ketika kempen PRU15 mengikut cara mereka, namun perkara itu sedang disiasat berkaitan pembelian undi.
Beliau dilaporkan berkata, SPRM sudah membuka kertas siasatan berhubung pemberian wang tunai ketika kempen pilihan raya seperti dilihat dalam satu video yang berlaku di Terengganu.
“Tidak mengapa jika mereka menggunakan istilah seperti sedekah. Ia tetap rasuah seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Kami sudah membuka beberapa kertas siasatan selepas menerima aduan ketika dan selepas pilihan raya dan kami akan menyiasat setiap kes yang dirujuk kepada kami,” katanya dipetik.
Berdasarkan akta itu, rasuah disifatkan berlaku apabila calon atau mana-mana individu membeli undi, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dengan memberi atau menawarkan wang, hadiah, pekerjaan atau pinjaman ketika atau selepas pilihan raya.
Sesiapa yang didapati bersalah boleh dipenjara maksimum dua tahun, denda antara RM1,000 dan RM5,000, serta penjara sehingga setahun.
Calon juga boleh hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan kehilangan hak untuk bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun jika mereka didapati bersalah melakukan kesalahan itu.
PAS mendapat kecaman selepas satu klip video menunjukkan segelintir individu menghulurkan wang tunai kepada pengundi, menjadi viral.
Namun, pada 21 Januari lalu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika PRU15 dengan mendakwa ia adalah sedekah. Pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan. – JURNAL
Sumber: BH Online